Tuesday, February 17, 2009

Teknik Membina Karangan (PMR)

Sebagai insan yang sempurna, kita mestilah menghormati golongan orang kurang upaya (OKU). Apakah cara-cara yang dapat kita lakukan untuk menghormati mereka?

Format Karangan Fakta
1. Pengenalan/pendahuluan
2. Isi 1
3. Isi 2
4. Isi 3
5. Isi 4
6. Penutup

T: Menghormati OKU
K: Cara-cara
F: Fakta

Isi
1. Memahami perasaan mereka
2. Membantu mereka
3. Memberi sokongan moral
4. Tidak mendiskriminasikan mereka
Tips membuat karangan:
Pendahuluan:
1. Ayat ransangan (AR) - Ayat yang berkaitan dengan tema
2. Ayat arahan (AA) - Ayat yang menjawab kunci soalan

Perenggan isi:
1. Ayat isi (AI) - Ayat yang menjawab soalan atau kata kunci
2. Ayat huraian (AH) - Huraian lanjut tentang isi untuk memberikan penjelasan
tentang perkara yang diperkatakan
3. Ayat contoh (AC) - Bukti atau contoh yang berkaitan dengan isi
4. Ayat penegas (AP) - Memberikan penegasan terhadap isi dan huraian

Penutup:
1. Ayat kesimpulan (AK)
2. Ayat penilaian (A pnln)
3. Ayat harapan (A hrpn)
4. Ayat cadangan (A cdgn)
5. Ayat penutup (A pnutp)

Karangan Penuh:

Siapakah golongan orang kurang upaya? (AR) mereka ialah golongan yang cacat seperti cacat mental atau cacat anggota badan yang tertentu (AR). Disebabkan kecacatan, mereka menghadapi masalah untuk meneruskan kehidupan seperti insan sempurna yang lain (AR). Sebagai insan yang sempurna kita mestilah menghormati golongan OKU (AR). Sebenarnya, terdapat pelbagai cara yang dapat kita lakukan untuk menghormati mereka (AA).

Satu daripada cara kita menghormati mereka ialah dengan memahami perasaan mereka (AI). Kita janganlah memandang rendah kepada mereka (AH). Contohnya, kita mestilah mengelakkan diri daripada mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan mereka (AC). Oleh itu, kita mestilah memahami perasaan mereka yang sering merendah diri akibat daripada kekurangan mereka (AP).

Selain itu, kita juga mestilah selalu menghulurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka (AI). Dengan bantuan yang diberikan kepada mereka, mereka akan dapat menjalankan kehidupan seharian seperti orang lain (AH). Sebagai contoh, kita boleh menolong mereka dengan memberi pertolongan kewangan atau khidmat nasihat dan sebagainya (AC). Tegasnya, kita mestilah siap sedia memberikan pertolongan kepada mereka agar kehidupan mereka lebih sempurna (AP).

Di samping itu, kita perlu memberi sokongan moral kepada mereka (AI). Sokongan moral lebih penting berbanding dengan pertolongan kewangan (AH). Sebagai contoh, kita hendaklah meransang mereka bahawa mereka mampu berdikari walaupun cacat (AC). Tegasnya, dengan sokongan moral yang kita berikan, mereka akan lebih yakin untuk menghadapi cabaran hidup (AP).

Seterusnya, kita sebagai insan sempurna tidak boleh mendiskriminasikan mereka (AI). Kita mestilah mengiktiraf mereka sebagai ciptaan Tuhan seperti kita juga (AH). Contohnya, kita janganlah membezakan-bezakan mereka dengan orang yang sempurna (AC). Tegasnya, kita harus bersikap adil terhadap mereka (AP).

Kesimpulannya, sebagai insan sempurna kita perlu menghormati mereka (AK). Janganlah kita menyebabkan mereka rasa tersisih (Ahrpn). Kita perlulah sama-sama memberikan bantuan kepada mereka (A cdgn). Dengan menghormati dan memahami mereka, kehidupan mereka akan lebih sempurna dan bahagia (A pnutp).

Hari Mencipta Pantun



Pada minggu lalu iaitu 12.02.09 (khamis) saya bersama dengan cikgu Asrizal dengan bimbingan guru-guru Panitia Bahasa Melayu SMKDZM telah mengadakan hari mencipta pantun yang bertujuan untuk memupuk minat pelajar untuk mempelajari puisi tradisional tersebut. Sambutan daripada pelajar SMKDZM sangat menggalakkan dan mereka mampu mencipta pantun dengan menggunakan idea sendiri. Pantun pelajar telah dipamerkan bagi menggalakkan mereka. Aktiviti ini dapat mendidik pelajar supaya mempelajari nilai yang terkandung dalam pantun untuk membentuk disiplin diri seterusnya dapat membantu pelajar menambahkan ilmu bahasa dan mencambahkan idea melalui mencipta pantun.

Latihan Sukan dan Aktiviti Kokurikulum

Sukan tahunan SMKDZM hampir tiba. Warga pendidik berharap pelajar dapat menunjukkan bakat dan kebolehan dalam bidang sukan agar kita mampu bersaing di peringkat dunia suatu hari nanti. Tidak mustahil suatu hari nanti terdapat pelajar dari SMKDZM yang muncul sebagai atlit negara yang mampu bersaing di peringkat dunia. Kita mempunyai impian yang besar kerana warga pendidik SMKDZM masih percaya bahawa ‘impian yang besar akan menghasilkan perkara-perkara yang besar’. Dengan ini guru-guru kelihatan gigih melatih supaya pelajar berani mengambil bahagian dalam sukan dan mampu menunjukkan bakat mereka yang sebenar.

Muzik dalam Dunia Pendidikan



Muzik suatu yang harmoni dan mampu mendidik pelajar untuk lebih yakin dan berdisiplin. Muzik mengajar kita untuk mengamalkan keharmonian dalam masyarakat malahan dapat membentuk rohani dan jati diri. Aktiviti belajar bermain muzik di SMKDZM mempunyai objektif yang tinggi supaya pelajar dapat menggunakan muzik sebagai landasan untuk membentuk disiplin dan rohani yang kukuh. Dengan ini saya dengan bimbingan cikgu Rahila berusaha mengajar pelajar bermain muzik dan bernanyi. Antara lagu yang dipelajari ialah, lagu nasyid, puisi dalam lagu dan lagu-lagu patriotik.

Wednesday, February 11, 2009

Peribahasa dalam Penggunaan

Orang Melayu terkenal dengan budaya berbahasa dan mempunyai sikap yang sopan dalam perhubungan sesama masyarakat. Budaya yang baik ini bukan sahaja ditunjukkan melalui sikap perilaku seharian malahan dalam komunikasi juga. Orang Melayu pada suatu ketika dahulu boleh manipulasi dan menggunakan bahasa yang lembut dan bertapis untuk menegur, memberi nasihat serta menyindir orang lain. Penggunaan bahasa berkias dan bertapis ini bertujuan untuk mengelakkan orang lain sakit hati dan terluka dengan cara kita menegur atau menyindir. Cara berbahasa yang dimaksudkan adalah dengan menggunakan peribahasa. Peribahasa seperti yang yang didifinisikan oleh pendeta Za’ba ialah segala susun cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataan, luas dan benar tujuannya, dipakai akan dia jadi sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan dan pengajaran. Bidalan, pepatah, perbilangan dan perumpamaan merupakan peribahasa kerana mengandungi sifat peribahasa yang telah disebutkan itu.

Salah satu bahagian daripada peribahasa yang dibincangkan dalam artikel ini ialah perumpamaan. Perumpamaan merupakan salah satu aspek bahasa sangat penting dalam mendidik masyarakat supaya dapat mengamalkan norma-norma dan nilai-nilai yang baik dalam sesebuah komuniti. Pada suatu ketika dahulu, perumpamaan digunakan secara meluas dalam persuratan dan pertuturan harian. Perumpamaan telah menjadi kebiasaan dan amalan dalam kehidupan bermasyarakat, bak kata pepatah, ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’.

Namun begitu, setelah masa berlalu dan arus pemodenan semakin rancak berkembang, penggunaan perumpamaan tidak lagi popular malahan tidak ramai yang boleh menggunakan perumpamaan dalam pertuturan seharian. Sesekali kita akan mendengar peribahasa dalam kaca televesyen apabila wartawan TV3 Karam Singh Walia membuat sesuatu liputan dan sesekali juga kita mendengar perumpamaan ini dalam kelas bahasa Melayu. Generasi baharu tidak lagi berminat untuk belajar dan mencuba untuk menggunakan peribahasa. Hal ini kerana, terdapat empat faktor yang menyebabkan mereka tidak berminat mengamalkan peribahasa. Pertama, generasi baharu merasa kabur dengan erti sebenar sesuatu peribahasa dan ini menyebabkan mereka ragu-ragu untuk menggunakannya. Kedua, mereka menganggap isi peribahasa tidak lagi relevan untuk masa sekarang. Ketiga, mereka mahu percakapan yang lebih jelas dan tepat serta yang keempat adalah mereka tiada kemahiran mengarang peribahasa secara sepontan dalam pertuturan.

Dalam keadaan yang sebenar, penggunaan perumpamaan ini masih relevan dan sesuai untuk masa sekarang. Perkembangan teknologi bukan menjadi alasan untuk mengelakkan kita daripada menggunakan perumpamaan dalam pertuturan seharian. Kebolehan menggunakan perumpamaan dalam pertuturan merupakan satu kelebihan dan keunikan kepada diri kita sendiri. Penggunaan perumpamaan dalam pertuturan boleh mewujudkan keseronokan dalam pergaulan, meningkatkan kemahiran berkomunikasi, mengeratkan perhubungan dan memberi kesedaran secara positif kepada orang lain terhadap budaya orang Melayu yang sebenar. Fungsi peribahasa dalam masyarakat kita boleh lihat dalam beberapa aspek seperti yang dijelaskan di bawah.

1. Mewujudkan keseronokan dalam pergaulan
Kerseonokan dalam pergaulan menunujkkan individu yang terlibat dalam pergaulan tersebut merasa gembira dan selesa semasa bergaul. Kadang-kandang terdengar tawa dan wajah yang ceria sentiasa ditunjukkan. Keseronokan dalam komunikasi berlaku apabila kesefahaman wujud dan terselit unsur humor di dalamnya. Unsur humor ini boleh ditunjukkan dengan adanya penggunaan perumpamaan yang sedikit jenaka tetapi tidak keterlaluan. Berikut beberapa contoh peribahasa atau perumpamaan yang boleh digunakan dalam pergaulan untuk tujuan menimbulkan keseronokan.
Dalam pergaulan, keseronokan boleh timbul apabila ada pujian yang ikhlas dan jujur di antara individu yang terlibat. Contohnya anda dan sahabat anda baharu sahaja pulang dari kelas mengaji. Secara jujurnya anda ingin memuji kelunakan suara sahabat anda yang begitu pandai mengaji. Maka anda boleh mengatakan “Amin suara kamu merdu bagai bulu perindu”. Perumpamaan ini bermaksud pujian yang berkias dengan bahasa yang lebih lembut dan menyeronokan.

Mungkin anda juga mahu bergurau dengan sahabat anda dalam majlis yang kamu hadiri. Selesai sahaja makan dan merasa kenyang anda meminta izin pulang dengan sedikit gurauan dalam komunikasi. Gurauan seperti ini mungkin anda boleh gunakan, “Kamal saya mahu pulang, saya seperti pacat kenyang”. Gurauan ini bermaksud anda pulang tergesa-gesa selepas sahaja makan dengan kenyang. Mungkin anda ada hal penting yang ingin diselesaikan. Mendengar ungkapan ini rakan-rakan anda pasti gelak bukan bertujuan menyindir tetapi seronok kamu berbahasa dengan menggunakan kiasan.

2. Memberi nasihat
Perumpamaan juga boleh digunakan dalam memberikan nasihat. Penggunaan perumpamaan dalam memberi nasihat bertujuan untuk menyedarkan seseorang dengan membandingkan perbuatannya dengan sesuatu benda yang mujud. Keadaan ini sebenarnya lebih berkesan kerana orang yang menerima nasihat akan sedar tentang kelemahan atau perbuatan yang tidak baik dia lakukan umpama benda yang digambarkan dalam peribahasa. Contohnya, mungkin anda mahu menasihatkan kawan anda supaya memberi didikan kepada anak bermula dari kecil lagi supaya sasiahnya boleh dibentuk dengan lebih mudah. Anda akan berkata dengan perumpamaan “kalau menasihatkan kanak-kanak biarlah bermula dari mereka kecil, bak kata pepatah melentur buluh dari rebungnya”. Setelah menilai nasihat anda, memang benar rebung mudah dilentur sebelum menjadi buluh yang dewasa. Begitu juga dangan kanak-kanak, mereka lebih mudah dibentuk sebelum menjadi dewasa. Setelah membandingkan benda konkrit dalam peribahasa tersebut iaitu ‘rebung’ dengan ‘kanak-kanak’ maka kawan anda akan lebih sedar supaya memberi nasihat yang terbaik kepada anak-anak sejak mereka kecil kerana mereka lebih mudah dinasihati pada waktu umur yang muda.

3. Menyindir dengan sopan
Perumpamaan juga boleh digunakan untuk menyindir dengan sopan. Menyindir dengan sopan bertujuan untuk menegur seseorang dengan bahasa yang bertapis supaya tidak keterlaluan tetapi memberikan mesej yang tajam. Menyindir dengan sopan menandakan seseorang itu bijak menggunakan bahasa supaya mesej yang disampaikan berkesan dan orang yang mendengarnya dapat memperbetulkan kesilapannya. Perumpamaan yang sederhana dan bersifat praktikal boleh digunakan supaya maksudnya betul-betul sampai kepada penerima. Contoh perumpamaan yang digunakan untuk menyindir seseorang adalah seperti situasi yang berikut. “Akmal kamu tidak akan dapat kahwin sekiranya terus duduk diam seperti Mat Jenin, pergilah bekerja”. Sindiran seperti ini boleh menyedarkan seseorang supaya bertindak untuk mendapatkan keinginannya.

4. Menyatakan pendirian yang tegas
Perumpamaan juga boleh digunakan untuk menyatakan pendirian yang tegas dengan menggunakan pemilihan kata dan kiasan yang memberi kesan yang sangat mendalam. Kadangkala kita mahu menyatakan pendirian dengan menggunakan kata putus yang biasa diungkapkan, namun kata putus ini lebih jelas dan tegas sekiranya disertakan dengan perumpamaan. Contohnya, perumpamaan “seperti berkerat rotan berpatah arang” yang bermaksud memutuskan tali persahabatan atau persaudaraan dengan niat tidak mahu menyambungkannya semula. Perumpamaan yang dibayangkan dengan kiasan berkarat rotan dan berpatah arang cukup jelas bahawa pendirian yang dibuat itu adalah sungguh-sungguh dan tegas.

Secara keseluruhannya, peranan perumpamaan sangat jelas dalam mendidik masyarakat. Perumpamaan yang tergolong dalam peribahasa perlu dipraktikkan supaya tidak hilang ditelan zaman kerana perumpamaan merupakan khazanah bahasa yang tidak ternilai harganya. Generasi baharu perlu sedar bahawa perumpamaan bukanlah kata-kata yang biasa tetapi merupakan ketertinggian permikiran. Za’ba pernah menyatakan bahawa peribahasa merupakan lidah pendeta. Pernyataan ini jelas menggambarkan nilai dan ilmu yang terkandung dalam perumpamaan itu. Dengan hal yang demikian, perumpamaan ini juga perlu diajar di sekolah dengan sungguh-sungguh kerana perumpamaan yang termasuk dalam peribahasa merupakan salah satu karya sastera yang perlu dihayati seperti mana yang dikehendaki dalam sukatan pelajaran bahasa Melayu.

Bagi memupuk minat terhadap perumpamaan, berikut merupakan beberapa himpunan perumpamaan yang boleh kita mula praktikkan dalam pertuturan seharian dan juga dalam penuliasn.

Seperti ayam tambatan (orang yang berani)
Seperti anak muda jolong berkeris (keghairahan seseorang untuk menggunakan sesuatu yang baharu diperolehinya)
Seperti anjing dengan bayang-bayang (orang yang sangat tamak selalu rugi)
Seperti belut pulang ke lumpur (anak kampung pulang ke tempat asalnya)
Seperti belanda minta tanah (mula-mula minta sedikit tetapi akhirnya ingin memiliki semua)
Seperti bersaksi ke lutut (bersaksi kepada keluarga dendiri)
Seperti berkerat rotan berpatah arang (memutuskan tali persahabatan atau persaudaraan dengan niat tidak mahu menyambungkannya semula)
Seperti buluh perindu (suara yang sangat merdu)
Seperti durian dengan timun, menggolek binasa, kena golekpun binasa (orang yang lemah dan tidak berupaya hendak menentang orang yang kuat dan berkuasa.)
Seperti duri dalam daging (menanggung beban masalah yang sukar diatasi. Lama-kelamaan masalah itu semakin berat dan mendatangkan mudarat)
Seperti enau dalam belukar (mementingkan diri-sendiri)
Seperti gendang kosong (banyak bercakap dan berlagak pandai, tetapi sebenarnya pengetahuannya sedikit sahaja atau tiada langsung)
Seperti gagak pulang ke benua (perantau yang pulang ke tempat asal tanpa sebarang perubahan)
Seperti halilintar membelah bumi (bunyi atau suara yang kuat den mengejutkan)
Seperti isi dengan kuku (persahabatan yang sangat rapat)
Seperti kacang lupakan kulit (orang yang tidak tahu mengenang budi)

Motivasi Diri (Mengelola Kemarahan)

“untuk setiap minit kemarahan, anda kehilangan 60 saat kebahagiaan”

Kita sering mudah marah dengan banyak perkara termasuk benda-benda yang sangat remeh. Pernah sekali saya marah kepada adik sendiri hanya kerana dia mengambil pen saya tanpa meminta izin terlebih dahulu. Saya tidak tahu kenapa saya boleh jadi marah sedangkan saya belum memerlukan pen itu sehingga menjadi satu pertengkaran yang besar dan melukakan hati adik sendiri. Dari kemarahan kecil sehingga menjadi satu kemarahan besar dan saling menyinggung perasaan. Ia telah menjadi perkara yang serius dan menekan perasaan. Setelah bersendirian, saya sempat sedar, bukankah adik saya sangat memerlukan pen itu. Mengapa saya perlu marah kepada perkara-perkara yang tidak perlu untuk marah. Saya sempat tersenyum sendiri dan meminta maaf sesudahnya.
Sebelum kemarahan kita memuncak, kita dapat undur sejenak dan berjalan bersama Dia yang jauh lebih memahami diri kita daripada diri kita sendiri, yang memedulikan kita lebih daripada yang kita sedari. Kita dapat menceritakan kemarahan kita kepada-Nya dan memikirkan berbagai hal bersama-Nya untuk menyempurnakan tugas yang dipertanggungjawabkan-Nya kepada kita dengan sebaiknya.

Wednesday, February 4, 2009

FORMULA MERINGKASKAN KARANGAN

Tajuk: Masalah penjualan buku-buku Dewan Bahasa dan Pustaka
Contoh isi yang diperoleh:
1. bahan-bahan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bersifat akademik
2. tabiat membaca rakyat Malaysia masih di tahap yang rendah berbanding rakyat negara lain
3. rakyat di negara ini yang masih bergantung kepada aktiviti asas menganggap makanan lebih penting daripada buku
4. pendapatan rakyat tidak seberapa
5. bilangan ahli keluarga yang besar menyebabkan rakyat mendahulukan keperluan asas dalam perbelanjaan
6. sifat buku itu sendiri kurang menarik
7. kebanyakan buku akademik dan ilmiah mahal
8. buku atau majalah picisan lebih digemari oleh remaja
9. pemasaran yang kurang memuaskan



Kekangan (perkataan sama erti atau sinonim) penjualan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka disebabkan bahan-bahan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bersifat akademik (isi penting). Seterusnya..............(isi)................................. Lebih-lebih lagi................................................................ Selain itu, .............................., manakala ........................................................ Di samping itu, ........................................, serta ......... Tambahan pula, ............................... Selari dengan itu, ....................................

Kekangan penjualan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka disebabkan bahan-bahan yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka bersifat akademik. Seterusnya, tabiat membaca rakyat Malaysia masih di tahap yang rendah berbanding rakyat negara lain. Lebih-lebih lagi, rakyat di negara ini yang masih bergantung kepada aktiviti asas menganggap makanan lebih penting daripada buku. Selain itu, pendapatan rakyat tidak seberapa, manakala bilangan ahli keluarga yang besar menyebabkan rakyat mendahulukan keperluan asas dalam perbelanjaan. Di samping itu, sifat buku itu sendiri kurang menarik serta kebanyakan buku akademik dan ilmiah mahal.Tambahan pula, buku atau majalah picisan lebih digemari oleh remaja. Selari dengan itu, sistem pemasaran yang kurang memuaskan juga menjadi masalah terhadap penjualan buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

(80 patah perkataan)

Peluang Hebat untuk Semua Pelajar







Kepada semua pelajar SMKDZM,
Minat bermain muzik? ada bakat? mahu belajar?
Daftarkan nama dengan Cikgu Luie (Guru Sidang Petang) sebagai ahli pemuzik SMKDZM. Siapa cepat dia dapat.
Aktiviti:
1. Belajar bermain muzik
2. Bernanyi
3. Puisi dalam lagu dan banyak lagi

Waktu aktiviti:
Hari kokurikulum (sabtu)

Monday, February 2, 2009

Kem Motivasi “Road to Excellence”



Kem yang dianjurkan oleh Yayasan Pelajaran Mara dengan kerjasama SMK Dato’ Zulkifli Muhammad sedikit-sebanyak dapat membantu pelajar untuk mencari jalan menuju kejayaan, membina disiplin yang baik dan belajar untuk menghormati ibu bapa dan guru. Beberapa nilai yang guru pelatih dapat lihat ketika menjadi fasilitator dalam kem ini ialah nilai kesungguhan, bekerjasama, tidak menyampuk, berani menyatakan hujah dan pendapat, sabar dan kasih sayang. Pengisian dan aktiviti dalam kem motivasi ini seperti Latihan dalam Kumpulan, Jungle Tracking, Ceramah dan seumpamanya banyak membantu pelajar mengenal nilai yang perlu diamalkan sebagai seorang pelajar selain daripada merasa seronok dalam kem motivasi tersebut. Guru pelatih juga merasa seronok dalam kem motivasi yang berlangsung semala 3 hari 2 malam ini dan mendapat banyak ilmu dan pengalaman terutamanya bagi mengenal erti dunia pendidikan yang sebenar.

Perkongsian Buat Ibu Bapa (TIMUN-TIMUN KECIL)

“Kehidupan orang tua adalah buku pedoman bagi seorang anak”

Saya belum cukup matang untuk berkongsi dengan ibu bapa yang banyak menimba pengalaman dalam menempuh kehidupan. Namun perkongsian ini sekadar menyatakan pengalaman yang dirasakan oleh seorang anak yang pernah menerima kasih sayang yang seadanya daripada orang tua walaupun tidak sempurna seperti yang selalu kita harapkan.
Ketika masih kecil, saya tertipu oleh sebuah timun yang besar. Sebenarnya timun itu tidaklah berbeza dengan timun-timun yang lain, tetapi timun itu berada di tempat yang sangat aneh. Ayah menyimpannya di dalam sebuah botol di atas rak. Timun aneh itu terlalu besar untuk dapat dimasukkan melepasi leher botol. Saya bertanya-tanya dalam hati, bagaimana timun itu dapat berada di sana?
Saya terkagum-kagum pada ayah yang dapat melakukan hal tersebut. Tetapi sebenarnya, dia bergurau tentang hal itu. Dia tidak pernah memberitahu saya bagaimana dia melakukan hal itu. Akhirnya, ibu sayalah yang menjelaskan bahwa ketika timun itu masih sangat kecil, timun itu sudah dimasukkan melepasi leher botol dan dibiarkan, sehingga menjadi besar sementara timun itu masih tumbuh di luar.
Ibu saya mempraktikkan prinsip yang sama terhadap anak-anaknya. Sejak dini dia melingkupi kehidupan saya dengan doa, pengajaran dan nasihat. Hasilnya, saya dihantar menuju ke arah kehidupan yang lebih baik walaupun tidak pernah sempurna seperti apa yang selalu kita fikirkan.
Ini merupakan pelajaran bagi para orang tua yang mempunyai "timun-timun kecil" di rumah. Jangan biarkan ada yang mengusik tugas anda terhadap mereka. Orang yang berkata, "Berilah saya anak sampai dia berumur tujuh tahun dan selanjutnya saya tidak perlu tahu dengan siapa dia berjalan" mesti tahu dengan jelas nilai dari latihan awal ini. Jangan abaikan timun-timun kecil anda. Mereka akan segera tumbuh menjadi besar- Luie Elis